KUALA LUMPUR: Sekumpulan aktivis Rohingya mengambil inisiatif melaksanakan Projek Rohingya iaitu program banci global bagi mengenal pasti etnik tanpa negara itu di seluruh dunia. Pengasas bersama projek itu Muhammad Noor berkata menerusi projek banci pertama itu, yang akan dimulakan tahun depan, mereka menyasarkan untuk mendaftar kira-kira 3.5 juta Rohingya di seluruh dunia. “Selepas didaftar, etnik Rohingya akan diberi kad pengenalan rasmi yang mengandungi maklumat diri mereka. “Dengan adanya kad pengenalan diri itu, kita berharap ia akan membuka lembaran baru kehidupan bagi semua Rohingya di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Rohingya peringkat Malaysia di sini, hari ini. Buat permulaan, katanya, projek itu berharap untuk membanci 1,000 Rohingya di beberapa negara termasuk Malaysia. Muhammad berkata semua maklumat itu akan disimpan dalam satu sistem data digital yang boleh diakses secara global. Dalam pada itu, beliau berkata kumpulannya berharap untuk mendapat sokongan orang ramai dalam menangani isu etnik Rohingya, yang kini dianggap sebagai tiada negara selain dihimpit masalah kewangan. Kumpulan itu juga berharap dengan adanya identiti rasmi menerusi projek bancian itu, etnik Rohingya berpeluang mengikuti latihan vokasional, keusahawanan selain mudah mendapat pekerjaan di mana jua mereka berada. This article was published on the Astro Awani website. Click here to view the original article.